Popular Untuk Hari Ini

Tuesday, May 31, 2011

Wanita Solehah

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah." HR Muslim

Ramai manusia menisbahkan kemulian wanita pada kecantikan semata mata, ada juga yang menisbahkan kemuliaan mereka pada kekayaan, dan tidak kurang juga pada keturunan, tetapi ini semua adalah penilaian oleh insan yang buta mata hatinya...

Kemuliaan semua makhluk Allah adalah terletak pada nur taqwa...
Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita, walaupun mereka diselubungi kelemahan, tapi teriakan mereka mampu merubah segalanya.

Oleh yang demikian, Allah telah menetapkan hukumnya ke atas mereka; walaupun berat di pandangan mata si jahil dan ingkar tetapi ia adalah kemanisan iman yang dicicip oleh wanita solehah.

Kerana itulah...
Sebagai anak, dia menjadi anak yang solehah...
Sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya...
Sebagai ibu, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang..dan pastinya sebagai hamba Allah, dia akan menjadi hamba yang tunduk dan menyerah diri hanya kepada-Nya...

Firman Allah dalam surah an-Nisa': 24

"Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun."

Dalam Islam wanita amat dihormati dan dihargai peranannya. Sebagaimana eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi. Setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari redha Allah, Mardhatillah.

Rasulullah s.a.w telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut fitrah ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud...

"Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu." Al-Bukhary dan Muslim

Nilai wanita bukan terletak pada pakaiannya yang menonjol, berhias diri untuk memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya ialah pada kesopanan, rasa malu dan keterbatasan dalam pergaulan. Wanita solehah itu adalah wanita yg tegar menjaga maruahnya,serta apa yang lahir dari dirinya, dari hujung rambut hingga hujung kaki, termasuklah wajahnya, suaranya, senyum tawanya, jalannya,tulisannya hatta namanya sekalipun, wajahnya bukan aurat,tapi ada kalanya ia menjadi aurat. Dalam mazhab syafie ada khilafnya..berdasarkan ayat dalam surah an-Nur,30.

Allah melarang wanita beriman menunjukkan perhiasannya,kecuali apa yang telah zahir daripadanya.

Ulama Syafie berpendapat makna "apa yang zahir daripadanya" adalah muka dan tapak tangan, tetapi bagi wajah yang boleh mengundang fitnah, ia tetap menjadi aurat, wanita yang khuatir wajahnya boleh melalaikan lelaki yang memandangnya pasti akan menganggapnya sebagai aurat, lalu mengenakan purdah pada wajahnya, mungkin berat bagi wanita bergelar remaja untuk mengamalkannya, tapi cukuplah dengan tidak terlalu menonjolkan diri mereka di hadapan ajnabi atau tidak menjadikan wajah mereka sebagai paparan umum seperti friendster, facebook dan lain-lain.

Suaranya bukan aurat, tapi ada kalanya ia menjadi aurat. Wanita yang memahami erti kesolehan tidak akan melembutkan suaranya di hadapan ajnabi, kerna memahami perintah Allah s.w.t padanya dalam surah al-Ahzab ayat: 33."

Maka janganlah kamu melemah lembutkan suara dalam bebicara sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit hatinya".

Jadi, bertegaslah apabila berurusan dengan lelaki ajnabi, pergaulan yang betul telah Allah ajarkan melalui kisah dua orang puteri Nabi Syuib. Bagaimana mereka ketika ingin memberi minum haiwan ternakan, mereka dapati ramai pengembala di sumur. Hajat mereka tidak kesampaian. Nabi Musa a.s telah mengambil alih tugas mereka memberi minum kepada binatang ternak mereka, apabila selesai memberi minum haiwan ternakan tersebut, salah seorang daripada puteri tersebut mendatangi Nabi Musa a.s dengan keadaan malu untuk menyampaikan pesanan ayahnya menjemput Nabi Musa a.s ke rumahnya.(surah al-Qasas: 23-25)

Daripada peristiwa ini, Allah menggambarkan wanita solehah itu adalah wanita yang tidak memdedahkan dirinya pada pandangan umum. Apabila ia berurusan dgn lelaki ajnabi, maka ia akan tunduk dan melahirkan rasa malu.

Berurusanlah dengan ajnabi tanpa mendatangkan keadaan khalwat(berdua-duaan). Khalwat paling mudah berlaku dalam hubungan cinta terlarang. Khalwat juga adalah bunga-bunga perzinaan. Berbual-bual di telefon atau s.m.s antara lelaki dan wanita kerana dasar cinta terlarang juga dikira sebagai khalwat kerana ia berlaku secara berdua - duaan..fikirkanlah.

Saidina Umar r.a berkata, "Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita".Seorang wanita solehah tidak akan membiarkan lelaki berjalan di belakangnya, kerna ia faham seribu satu fitnah boleh timbul daripada keadaan tersebut. Bagaimana pula keadaan wanita yang tidak melabuhkan jilbabnya apabila lelaki berjalan di belakangnya?. Maka, labuhkanlah tudung mu sehingga menutup juyub(tulung rusuk paling bawah) dan menutup punggung.

Ketahuilah bahwa pada pagi hari perintah berjilbab diwahyukan kepada Rasulullah saw,seorang sahabiyah yang masih tidak tahu tentang wahyu tersebut telah keluar dari rumahnya tanpa jilbab, seseorang telah menegurnya,"mengapa engkau tidak berjilbab, adakah engkau tidak tahu tentang perintah memakainya?". Lalu wanita tersebut berhenti melangkah dan menyuruh seseorang mengambil jilbabnya, beliau berkata, "aku tidak mahu selangkah pun aku berjalan dalam keadaan melanggari perintah Allah swt". Diriwayatkan juga ketika peristiwa Fathul makkah, Hindun datang berjumpa Rasulullah untuk memeluk Islam dalam keadaan berjilbab. Beliau telah siap menunaikan perintah Allah walaupun belum memeluk Islam.

Hari ini apa yang terjadi pada wanita Islam, bertahun-tahun belajar Islam tetapi masih tiada kekuatan untuk mengamalkannya...

Wanita solehah juga tidak berpergian (keluar rumah) melainkan urusan yang mustahak.Keluarnya wanita dari rumah hendaklah ditemani muhrimnya. Para sahabiyah r.a tidak keluar dari rumah mereka sehinggakan mereka tidak hafal jalan -jalan di kampung mereka. Apa yang mereka hafal hanyalah jalan-jalan menuju syurga Allah. Oleh itu, mereka telah menghantar suami dan anak anak mereka ke syurga melalui jalan pintas, dengan berjihad dan syahid di jalan Allah... Keluarnya wanita dari rumah menyebabkan terbinalah papan-papan iklan maksiat. Ini sangat menguntungkan musuh Islam. Wanita kita hari ini melariskan produk keluaran mereka dengan mendedahkan maruah mereka pada pandangan umum.

Aku bangga apabila ditanya pada seorang muslimah, "dimana tempat membeli belah paling besar di kota ini?". sedang ia menjawab, "saya tidak tahu". Seorang wanita solehah juga tidak bertabarruj (berhias diri yang berlebihan).

firman Allah swt:

"Janganlah kamu berhias diri sepertimana berhias diri perempuan jahiliyah".(surah al-Ahzab_33)

ya,memang benar...Islam itu mudah, tapi kemuliaan Islam itu selalu mengiringi mereka yang tidak mengambil mudah terhadap Islam, dalam satu hadith dalam kitab hadith 40, Rasulullah s.a.w bersabda,

"Kebaikan itu adalah akhlak yang baik, dan dosa itu adalah apa yang bergetar di hati kamu, dan kamu takut perbuatan itu dilihat orang

Wanita solehah itu adalah wanita yang menjaga pandangannya, kerna ia adalah perintah dari Allah (an-Nur,30-31), ia tidak akan mengizinkan dirinya untuk memandang atau dipandang lelaki ajnabi pandangannya sentiasa tertunduk ke bumi,lantaran sifat malu kepada tuhannya untuk berbuat kemungkaran atau mencetuskan kemungkaran. Tundukkanlah pandanganmu, ibarat mencari sesuatu yang hilang. Ketahuilah, kelak di dalam kubur manusia yang tidak menjaga pandangannya akan diajar oleh syuja'ul aqro, sekali ia menghembuskan bisanya ke bumi, maka sehelai rumput pun tidak akan tumbuh, dan di hari kiamat, dia akan dibangkitkan dalam keadaan buta.

Wanita solehah itu adalah wanita yang selalu menjaga pendengarannya daripada sesuatu yang melalaikan,umpatan dan cacian, wanita yang menjaga pendengarannya di dunia, maka di syurga kelak dia akan dapat mendengar suara Nabi Daud a.s membaca kitab Zabur, di mana sungai pun akan berhenti mengalir kerna kemerduan suaranya.

Dia akan dapat mendengar Rasulullah saw membacakan surah Yasin dan Toha.

Dan di hari puncak segala kebahagiaan untuk penghuni syurga, iaitu di kala melihat wajah Allah swt,Allah swt akan membacakan untuknya surah arRahman...MasyaAllah...

Monday, May 16, 2011

Doa Cinta...

YA ALLAH...
KURNIAKANLAH AKU CINTA-MU...
YA ALLAH...
KURNIAKANLAH KEPADAKU CINTA
ORANG YANG CINTA KEPADA-MU...
YA ALLAH...
KURNIAKANLAH CINTA APA SAHAJA YANG
MENGHAMPIRKAN AKU KEPADA CINTA-MU...
YA ALLAH...
KURNIAKANLAH CINTA-MU ITU 
LEBIH AKU DAMBAKAN SETEGUK AIR...

Wednesday, March 9, 2011

Asmaul Husna, 99 Beautiful Names of Allah - Islamic Widget by Alhabib

Asmaul Husna, 99 Beautiful Names of Allah - Islamic Widget by Alhabib

Mencari diri.

Siapakah diri kita yang sebenar?
Orang selalu bertanya akan hal itu dalam tumbesarannya. Dia hendak mencari identitinya yang sebenar. Aku ini sepatutnya macam mana? Siapa yang aku perlu ikuti? Aku perlu jadi apa?
Persoalan ini biasanya muncul di dalam diri.
Tetapi apakah kita berjaya mencari diri kita yang sebenar, atau kita sekadar imitasi sesuatu yang bukannya diri kita yang sebenar.
Maka di sinilah kita perlu mengetahui, bagaimana hendak mencari diri.
Moga artikel ringkas ini membantu kita insyaAllah.
Siapakah yang lebih kenal akan diri?
Ayahkah? Ibukah? Rakan-rakankah? Guru-gurukah? Datukkah? Nenekkah? Abangkah? Kakakkah?
Sebenarnya, walaupun ibu yang mengandungkan kita sendiri, tidak juga lebih mengenali diri kita. Tetapi Yang Mewujudkan Kita di dalam rahim ibu, itulah yang amat mengenali diri kita sendiri.
Semestinya bukan?
Ibu tidak mencipta kita. Ibu tidak mewujudkan kita. Kita wujud bila pun Ibu tidak menjangka. Bahkan Ibu menangis apabila kita terwujud di dalam perutnya. Menangis gembira. Terkejut tidak sangka. Kita adalah anugerah. Bukan Ibu yang mampu mewujudkan kita.
Jadi, Yang Mewujudkan Kita adalah yang mengenali kita sebenarnya.
Dia yang faham, kita ini patut menjadi apa.
Dia yang mengetahui, siapa diri kita yang sebenarnya.
Dialah Allah SWT.
Maka, bertanyalah kepada Dia.
Maka, langkah pertama dalam mencari diri sendiri adalah dengan kembali kepadaNya. Cuba perhatikan apa yang Dia bicarakan berkenaan diri kita.
Di manakah hendak mencari bicaraNya?
Allah telah mempermudahkan manusia, makhlukNya, untuk mencari apa yang dibicarakan olehNya di dalam Al-Quran yang dijaga olehNya.
Tetapi, siapakah antara kita yang mengambil Al-Quran sebagai perlembagaan dalam kehidupan kita? Sebagai rujukan dalam pembentukan diri kita?
Silap kita, kita ikut hawa nafsu dalam pembentukan diri
Manusia menjadi gagal, adalah kerana dia mengikut hawa nafsu dalam pembentukan diri.
Kita melihat satu-satu perkara itu ‘cool’, kita tiru.
Kita nampak satu-satu perkara itu ‘hebat’, kita nak jadi macam itu.
Kita nampak satu-satu perkara itu ‘popular’, kita terus menggerakkan diri kita ke arah itu.
Tanpa kita rujuk kembali apakah sebenarnya yang kita sepatutnya jadi.
Apakah sebenarnya diri kita ini, di atas dunia ini, patut lakukan.
Kita mudah tertipu dengan sekeliling kita. Sedangkan hakikatnya, mereka sendiri tidak mengetahui siapakah diri mereka yang sebenarnya, dan apakah yang sepatutnya mereka lakukan.
Di sinilah timbulnya kekacauan dalam kehidupan insan.
Penutup: Pulanglah pulang.
Mengapa saya tidak memberikan dalil, atau apa-apa daripada Allah SWT untuk artikel ini? Mengapa sekadar sedikit penerangan dan banyak persoalan?
Sebab saya suka kalau kita sama-sama merujuk Al-Quran itu sendiri. Ambil masa, duduk sebentar, cuba cari ayat-ayat yang Allah ceritakan berkenaan kita. Saya berikan beberapa surah untuk anda rujuk.
Surah Al-’Alaq, Surah Al-Mukminuun, Surah Al-A’raaf, dan Surah Al-Hadid. Baca juga Surah Qaaf sebagai tambahan.
Satu demi satu ayat. Helaian demi helaian.
Pernahkah kita menggerakkan diri kita, untuk mengenali diri kita yang sebenarnya?
Atau sebenarnya, kita takut dengan kebenaran, kerana tidak mahu melepaskan keduniaan?
Siapakah yang berani mencari dirinya sendiri, dengan jalan yang membawanya kepada penyelesaian?
Duduk sebentar, muhasabah diri wahai insan.

Saturday, February 12, 2011

Isteri jangan dizalimi walaupun tak suka

DALAM surah an-Nisa’ ayat 19, Allah SWT berfirman: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci terhadap mereka (disebabkan tingkah lakunya, jangan kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” 

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Islam menuntut agar suami melayan isterinya dengan baik dan tidak menzalimi mereka. Orang berakhlak mulia adalah orang yang baik dengan isterinya seperti dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” Begitu juga sabdanya lagi: “Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.” 
Justeru, mereka yang sudah bergelar suami perlu bersikap bijaksana, sabar, adil, bertanggungjawab dalam memimpin rumah tangga. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 34 bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan.” 

Ini bukan bermakna, lelaki bebas melakukan kezaliman kepada wanita. Bahkan mereka menanggung amanah Allah yang akan dipersoal di akhirat kelak. Islam mengajar supaya adil dalam semua perkara. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl ayat 90 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” 

Begitu juga suami yang baik hendaklah bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan isteri dan anak seperti makanan dan pakaian. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, daripada Hakim bin Mu’awiyyah, beliau berkata bahawa ia pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” Mungkin pada masa kini suami isteri bekerja, tetapi ia tidak bermakna suami sudah terlepas tanggungjawab memberi nafkah. Namun, isteri walaupun pendapatannya besar, ia tetap tidak bertanggungjawab untuk mencari nafkah. Justeru, suami yang baik hendaklah memberi nafkah bersesuaian kemampuan suami. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 34 bermaksud : “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana ALLAH sudah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” 

Kepada saudari yang bertanya, sememangnya ada suami yang menzalimi isteri. Kerana itu, Islam menyuruh untuk memilih aspek salih sebagai keutamaan memilih bakal suami. Suami yang salih sekali-kali tidak akan menzalimi isterinya walaupun ia tidak menyukai isterinya dan kedua, mungkin saja suami yang tidak menyukai isteri disebabkan sikap isteri. 

Seperti yang disebut oleh pakar motivasi, Datuk Dr Fadzillah Kamsah, kadang-kadang isteri suka mencabar suami apabila bergaduh. Kedua, isteri tidak menjaga mulut sehingga terlepas perkataan yang menyebabkan hati suami sakit. Ketiga, isteri tidak malu iaitu tidak menjaga batas pergaulan dengan lelaki asing. Keempat, isteri tidak menjaga penampilan di hadapan suami tetapi bersolek berlebihan apabila keluar rumah. Kelima, isteri cemburu berlebih-lebihan dan sebagainya. Semua perkara ini perlulah dimuhasabah kembali dan dibaiki agar keadaan menjadi lebih baik. Wallahua’lam

Thursday, February 3, 2011

Pengurusan Jenazah.........

Kematian adalah sesuatu yang pasti dan kita harus bersedia menghadapinya kerana ia merupakan titik permulaan kepada penghidupan yang kekal abadi. Hanya mukmin yang dipanggil menghadap Tuhannya dengan hati bersih memperolehi kejayaan.

Menguruskan jenazah adalah merupakan perkara yang tidak boleh kita elakkan begitu sahaja. Ianya merupakan fardhu kifayah ke atas umat Islam. Dengan adanya sebahagian umat Islam yang mengetahuinya akan selesailah tanggungjawab itu.

Namun dalam keadaan sekarang ini, kesedaran di kalangan generasi muda untuk melaksanakan tanggungjawab ini amat tipis sekali. Ramai dari generasi muda yang tidak tahu cara-cara menguruskan jenazah dan hanya menyerahkan sepenuhnya kepada jenerasi yang lebih tua dari mereka untuk melaksanakannya. Bayangkanlah suatu hari nanti ayah atau ibu kita meninggal dunia. Tergamakkah kita membiarkan orang lain menguruskannya sedangkan diri kita hanya melihat tanpa sebarang ilmu.

Sejajar dengan itu maka terbitlah halaman web ini bagi memberikan sedikit bimbingan dan panduan. Seperkara yang perlu diingat di samping kita menguruskan jenazah, diharap ianya dapat menjadi pengajaran kepada kita yang masih hidup untuk bersiap sedia menuruti jejaknya suatu hari nanti. Dengan adanya panduan-panduan ini adalah diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan kepada para pelawat jika berlaku sesuatu kematian agar dapat membantu menguruskannya. Marilah kita memahami kehendak fardhu kifayah ini, moga-moga ianya dapat menjadi penyambung kesempurnaan dalam pengamalan syariat agama kita.

~~~~~~~ InsyaAllah ~~~~~~~

Sakit adalah datangnya dari Allah. Penyakit yang ditimpa ke atas kita sebenarnya mengandungi hikmah. Antaranya ialah :
1.      Memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita bahawa kita ini lemah dan tidak mempunyai kuasa dan kekuatan untuk menyembuhkannya melainkan Allah.
2.      Allah ingin menguji sejauh mana kesabaran kita menghadapi dugaan Allah.
3.      Allah ingin mengampunkan dosa kita yang kita telah lakukan samada secara sedar ataupun tidak.
Oleh itu, kita hendaklah sabar dan redha di atas dugaan yang telah diberikan Allah kepada kita dan berusahalah mencari ubatnya sebab Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud 'Tiap-tiap penyakit ada ubatnya kecuali mati'.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :
'Menziarah/melawat orang yang sakit pada permulaan masa sakitnya itu adalah Fardhu (wajib) dan kemudiann daripadanya Sunat, tidak lebih dari 3 hari'.
Ketika berada dekat dengan orang sakit, bacalah doa ini berulang kali,
Umat Islam amat menghargai kita melawat orang sakit terutama jika saudara-mara kita yang sakit begitu juga kalau jiran-jiran kita, walaupun jiran kita bukan dari golongan orang Islam.
Apa yang perlu di lakukan ketika menghadapi seseorang yang dalam keadaan nazak?
1.      Perlu berada di sisinya.
2.      Sentiasa mengingatkannya dengan kalimah Syuhadah iaitu :
Ash-hadu allah illaha illallah.....(cari tulisan jawi !!!!!!)
di telinganya dan hendaklah dimadkan bacaan kalimah tersebut. Manakala rakan-rakan yang lain membaca Al-Quran atau Yasin.
3.      Pesakit hendaklah ditelentangkan menghala ke Qiblat dan qiam tangannya.

  1. Apabila seseorang itu telah disahkan matinya, perkara-perkara berikut hendaklah dilakukan :
Hendaklah kita ucapkan :

  1. Tukarkan pakaiannya dan bersihkan kekotoran yang keluar dari duburnya.
  2. Rapatkan kedua belah matanya.
  3. Qiamkan tangannya seperti dalam sembahyang.
  4. Rapatkan mulutnya.
  5. Ikat dagunya dan simpul di atas ubunnya.
  6. Luruskan kakinya.
  7. Ikatkan kedua ibu jari kakinya. 
  8. Letakkan di tempat yang tinggi.
  9. Hadapkan ke Qiblat.


Mengurus jenazah orang Islam, merupakan fardhu kifayah, yakni apabila sudah dikerjakan oleh sebahagian dari orang Islam yang lain, maka yang lainnya tidak berdosa, akan tetapi apabila tidak seorang pun yang mengerjakan kewajipan tersebut, maka semua orang Islam dalam satu kampung atau kawasan tersebut akan berdosa.
Di antaranya yang wajib kita kerjakan dalam mengurus jenazah ialah :
  1. Memandikannya.
  2. Mengkafankan jenazah.
  3. Solat ke atas jenazah.
  4. Mengebumikannya.

Orang yang berhak dan lebih afdal untuk menguruskan jenazah ialah dari kalangan keluarganya atau warisnya yang terdekat misalnya ; anaknya sendiri kalau simati bapanya.
Kalau warisnya tidak ada kemampuan atau pengalaman, bolehlah diminta Imam atau Bilal di kawasan tersebut untuk menguruskannya.

  1. Waris yang tertua hendaklah berpakat/berbincang berhubung dengan kematian.
  2. Urusan di Balai Polis bagi melapurkan kematian.
    Nota : Sekiranya jenazah itu meninggal di Hospital cukup dengan surat kebenaran atau pengesahan dari doktor.
  3. Membeli keperluan untuk urusan memandi dan mengkafankan mayat.
  4. Menentukan bilal untuk memandikan mayat.
  5. Urusan menggali kubur.
  6. Menentukan Imam untuk sembahyang mayat.
  7. Menguruskan kenderaan untuk jenazah.
  8. Ucapan takziah.

  1. Sifat berani.
  2. Sabar.
  3. Amanah.
  4. Mempunyai kemahiran dan ilmu yang cukup.

  1. Sediakan tempat mandi.
  2. Sabun mandi.
  3. Air daun bidara.
  4. Air bersih.
  5. Sugi - 7 batang.
  6. Sarung tangan - 3 atau 5.
  7. Sedikit kapas.
  8. Air kapur barus.
  9. Baldi serta gayong.
Sebelum memandikan mayat, pastikan dahulu kubur telah digali dan peralatan mengkafan mayat telah disediakan seperti :
  1. Kain putih (bidang 45")  - 20 meter bagi dewasa
  2. Gunting
  3. Kapas
  4. Cendana
  5. Kapur barus
  6. Air mawar
  7. Minyak wangi (Minyak Attar)
  8. Tikar jerami
  9. Bantal (dari daun pandan)
  10. Tempat mandi yang khas.
  1. Letakkan mayat di tempat mandi yang disediakan.
  2. Tutup seluruh anggota mayat kecuali muka.
  3. Semua Bilal hendaklah memakai sarong tangan sebelah kiri.
  4. Sediakan air sabun.
  5. Sediakan air kapur barus.
  6. Istinjakkan mayat terlebih dahulu.
  7. Angkat sedikit bahagian kepalanya sehingga paras dadanya.
  8. Mengeluarkan kotoran dalam perutnya dengan menekan atau mimicit-micit perutnya secara perlahan-lahan dan hati serta kotoran dalam mulutnya dengan menggunakan kain alas atar tidak tersentuh auratnya.

  1. Siram dan basuh dengan air sabun sahaja dahulu.
  2. Kemudian gosokkan giginya, lubang hidung, lubang telinga, celah ketiaknya, celah jari tangan dan kakinya dan rambutnya.
  3. Selepas itu siram atau basuh seluruh anggota mayat dengan air sabun juga.
  4. Kemudian bilas dengan air yang bersih seluruh anggota mayat sambil berniat :

Lafaz niat memandikan jenazah lelaki :
"Sahaja aku memandikan jenazah (lelaki) kerana Allah Taala"
Lafaz niat memandikan jenazah perempuan :
"Sahaja aku memandikan jenazah (perempuan) kerana Allah Taala"
  1. Telentangkan mayat, siram atau basuh dari kepala hingga hujung kaki 3 kali dengan air bersih.
  2. Siram sebelah kanan 3 kali.
  3. Siram sebelah kiri 3 kali.
  4. Kemudian mengiringkan mayat ke kiri basuh bahagian lambung kanan sebelah belakang.
  5. Mengiringkan mayat ke kanan basuh bahagian lambung sebelah kirinya pula.
  6. Telentangkan semula mayat, ulangi menyiram seperti bil. 13 hingga 17.
  7. Lepas itu siram dengan air kapur barus.
  8. Lepas itu wudukkan mayat.

Lafaz niat mewudukkan jenazah lelaki :
"Sahaja aku berniat mewudukkan jenazah (lelaki) ini kerana Allah s.w.t"

"Sahaja aku berniat mewudukkan jenazah (perempuan) ini kerana Allah s.w.t"
Cara mewudukkan jenazah ini iaitu dengan mencucurkan air ke atas jenazah itu bermula dari muka dan akhir sekali pada kakinya, sebagaimana melaksanakan wuduk biasanya. Jenazah lelaki hendaklah dimandikan oleh lelaki dan mayat wanita hendaklah dimandikan oleh perempuan.
  1. Siram dengan air sembilan.
  2. Setelah selesai dimandikan dan diwudukkannya dengan baik dan sempurna hendaklah dilapkan menggunakan tuala pada seluruh badan mayat.
  3. Cawatkan bahagian kemaluan mayat dengan cawat yang disediakan.
  4. Lepas itu usung dengan menutup seluruh anggotanya.
  5. Segala apa-apa yang tercabut dari anggota mayat, hendaklah dimasukkan ke dalam kapan berama (Contoh : rambut, kuku dll).
  6. Dengan ini selesailah kerja memandikan mayat dengan sempurnanya.

Pertama :
Hendaklah disediakan tiga lembar kain kafan dibentangkan dengan disusun, kain yang paling lebar diletakkan di bawah atau dengan cara kain tiga lembar dibentangkan dan letaknya agak serong yang atas melebar dan yang bawah mengecil, setiap lembar disapu dengan wangi-wangian atau minyak wangi yang tidak mengandungi alkohol.
Kedua :
Hendaklah disediakan tali pengikat sebanyak tiga atau lima utas yang diletakkan di bawah kain kafan tersebut.
Ketiga :
Hendaklah disediakan kapas yang disapu dengan wangi-wangian dan kayu cendana yang digunakan untuk menutup antara lain :
1. Kemaluan
2. Wajah (muka)
3. Kedua buah dada
4. Kedua Telinga
5. Kedua siku tangannya
6. Kedua tumitnya
Keempat :
Angkatlah mayat tersebut dengan berhati-hati kemudian baringkan di atas kain kafan yang sudah dibentangkan.
Kelima :
Tutupkan jenazah itu dengan kapas yang telah disediakan pada bahagian-bahagian yang telah disebutkan di atas.

Keenam :
Hendaklah kain kafan tersebut diselimutkan atau ditutupkan dari lembar yang paling atas sampai lembar yang paling bawah, kemudian ikatlah dengan tali daripada kain yang telah disediakan sebanyak tiga atau lima ikatan.
Semua tali pengikat mayat hendaklah disimpul hidup di sebelah kiri. Sebelum  diikat di bahagian kepala, benarkan warisnya melihat atau menciumnya.
Tulislah kalimah "ALLAH dan MUHAMMAD" di dahi mayat dengan menggunakan minyak wangi.
Setelah siap diikat renjislah dengan air mawar dan sapulah minyak wangi.

Dalam mengerjakan solat jenazah, yang paling utama ialah dikerjakan secara berjemaah dan harus dijadikan tiga saf (barisan) sekurang-kurangnya setiap satu saf dua orang.
Bagi orang perempuan diperbolehkan mengikuti berjemaah bersama-sama dengan orang lelaki atau boleh mendirikan solat ke atas jenazah setalah disolatkan oleh orang lelaki.
Adapun hukum solat jenazah ini adalah Fardhu Kifayah seperti hal menguruskannya.
  1. Cara mengerjakan Solat Jenazah
    Bagi jenazah lelaki, Imam yang akan mendirikan solat ke atasnya hendaklah berdiri searah dengan kepala jenazah itu.
    Bagi jenazah perempuan, Imam hendaklah berdiri searah dengan lambung atau bahagian tengah jenazah itu.
    Tentang tempat untuk mengerjakan solat jenazah, diperbolehkan di dalam masjid, di surau atau di tempat lainnya yang memungkinkan solat berjemaah dengan syarat tempatnya itu luas dan bersih.
  2. Rukun Solat Jenazah
    Solat jenazah berbeza dengan solat-solat yang lain kerana cara mengerjakannya hanya dengan berdiri dan takbir empat kali tanpa rukuk dan sujud, juga tidak perlu azan dan iqamat. Adapun rukunnya ada empat :
    i.   Niat mendirikan solat jenazah yang dimaksudkan
    ii.  Berdiri bagi yang berkuasa.
    iii. Bertakbir empat kali.
    iv. Salam
  3. Lafaz niat solat jenazah :

    a.  Lafaz niat solat jenazah lelaki secara persendirian :
"Sahaja aku berniat mendirikan solat ke atas jenazah ini dengan empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala"
b. Lafaz niat untuk jenazah perempuan secara persendirian :
"Sahaja aku berniat mendirikan solat ke atas jenazah ini dengan empattakbir fardhu kifayah kerana Allah Taala"
c. Lafaz niat untuk mayat lelaki bagi Imam.
"Sahaja aku berniat mendirikan solat ke atas jenazah(lelaki) ini dengan empat takbir fardhu kifayah  menjadi Imam kerana Allah Taala"
d. Lafaz niat untuk mayat perempuan bagi Imam.
"Sahaja aku berniat mendirikan solat ke atas jenazah(perempuan) ini dengan empat takbir fardhu kifayah  menjadi Imam kerana Allah Taala"
e. Lafaz niat untuk mayat lelaki bagi Makmum
"Sahaja aku berniat mendirikan solat ke atas jenazah(lelaki) ini dengan empat takbir fardhu kifayah  menjadi makmum kerana Allah Taala"

f. Lafaz niat untuk jenazah perempuan bagi Makmum
"Sahaja aku berniat mendirikan solat ke atas jenazah(perempuan) ini dengan empat takbir fardhu kifayah  menjadi makmum kerana Allah Taala"
  1. Bacaan dan Doa dalam Solat Jenazah.
a.       Takbir yang pertama :

Membaca lafaz :   

Allahu Akbaru (Allah Maha Besar). 
Kemudian dilanjutkan dengan membaca Al-Fatihah :
1.      Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi maha Penyayang. 
2.      Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam.
3.      Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
4.      Yang berkuasa mengadili pada hari pembalasan.
5.      Hanya kepada Mu kami menyembah dan hanya kepada Mu kami memita segala pertolongan.
6.      Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.
7.      Iaitu Jalan orang yang engkau kurniakan nikmat ke atras mereka, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat.
b. Takbir yang kedua.
Membaca lafaz seperti pada takbir pertama, kemudian dilanjutkan dengan membaca selawat atas Nabi Muhammad s.a.w :

"Ya Allah! Berilah rahmat atas penghulu kami Muhammad s.a.w dan atas keluarganya sebagaimana Engkau telah memberi rahmat pada Nabi Ibrahim dan keluarganya. Dan berkatilah atas Nabi Muhammad s.a.w. dan atas keluarganya. Sebagaimana Engakau memberkati Nabi Ibarahim dan atas keluarganya. Pada seluruh alam. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia".
c.       Takbir yang ketiga :
Selepas takbir yang ketiga hendaklah membaca doa untuk memohonkan ampun pada si mati :


"Ya Allah! Ampunilah dia dan kasihanilah dia dan sejahterakanlah serta ampunilah dosa kesalahan dia. Dan muliakanlah kedatangannya dan luaskanlah tempat masuknya (kuburnya) dan bersihkanlah dia dengan air salju dan embun, bersihkanlah dia dari segala dosa dan sebagaimana kain putih yang bersih dari segala kotoran dan gantikanlah baginya rumah yang lebih baik dari rumahnya dan gantikanlah isteri yang lebih baik dari isterinya dan gantikanlah keluarga yang lebih dari keluarganya dan peliharalah (hindarkanlah) dia dari seksa kubur dan seksa neraka."

d.      Takbir yang ke empat.
Selepas mengangkat takbir yang keempat hendaklah membaca doa seperti di bawah ini :

"Ya Allah ! Janganlah kiranya pahala tidak sampai pada kami dan janganlah Engkau memberi pada kami fitnah sepeninggalannya dan ampunilah kami dan dia dan bagi saudara -saudara kami yang telah mendahului kami dengan imam dan janganlah menjadikan gelisah (dengki) dalam hati kami pada orang-orang yang beriman, Ya Allah! Ya Tuhan kami sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Selanjutnya yang terakhir adalah memberi salam dan palingkan ke kanan dan ke kiri dengan membaca :